.:Dif-dif kehormat:.

Sunday, August 5, 2012

Sedetik Ramadan

Ramadan datang lagi...
Bulan ini penuh keberkatan, dijanjikan keampunan dan pahala berganda bagi insan yang memanfaatkan detik waktu dengan sebaiknya. Dan hanya lafaz syukur, Alhamdulillah seharusnya lahir saat bertemu dengan Ramadan kali ini. Tiada yang istimewa Ramadan kerana Nasuha masih Nasuha yang sama. Yang pasti berbeza adalah niat dan azam yang tersemat di hati. Sudah dia tekadkan azam dia mahu Ramadan kali ini dijadikan ladang ibadah seluas-luasnya dan menambah erti taqwa.
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” ( Al-Baqarah:183)
Puasa itu mendidik insan supaya bertaqwa. Puasa itu membuatkan hamba makin takut pada Yang Esa. Puasa jugalah medan melatih diri jadi manusia yang tunduk sujud hanya pada setiap nikmatnya.
Dah sungguh, rasa syukurnya berganda kerana dia sudah merasai istimewanya menjadi isteri dan bermulanya episod menjadi seorang ibu di detik Ramadan ini. Semuanya bermula dengan sedetik pertemuan, sedikit perkenalan Ramadan setahun lalu.
Sungguh, sedetik bulan Ramadanlah yang mengubah hidupnya kini.
Alhamdulillah
-------------------------------------
Kisah Ramadan tahun lalu mengamit lagi.
“ Apa perancangan Ramadan Nas tahun ni?,” soal Ilham saat menunggu pengumuman Ramadan di televisyen.
Nasuha hanya tersengih sahaja. Kemudian, diam.
“ Uisyh, takkan takde perancangan langsung kot?,” gertak llham lagi.
Sedikit kurang sabar Ilham menanti jawapan. Mungkin tempias dari lambatnya keluar pengumuman puasa di Pulau Jawa ini. Maklumlah sahajalah sering berlaku perselisihan pendapat antara ulama di sini. Dan akhirnya, segenap lapisan masyarakat menanti penuh debaran.
“ Tak ada yang spesifik kot. Senang cerita, aku harap Ramadan tahun ni lebih bermakna, lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya aje,” balas Nasuha ringkas.
Dalam dan padat bicara itu. Ada makna tersendiri, ada erti yang tersembunyi.
“ Ooh, menarik. Mestilah lebih baik, nak berlatih jadi isteri dan ibu mithali untuk masa depan kan Ramadan tahun ni?.”
Seloroh Ilham hanya disambut ketawa kecil Nasuha. Sengaja Ilham mengusik. Maklum sahajalah umur masing-masing sudah satu perempat kurun.
“ Tak ada maknanya. Itu sampingan je. Yang paling penting, hubungan aku dengan Tuhan terjaga dulu. Kalau dah baik di mata ALLAH, Insya-ALLAH baiklah semua benda dalam hidup ni. Kalau diri dan OK, tak akan hanyut dan KO semua bab hidup aku. Nak jadi isteri soleh, ibu mithali tu petik jari je,” jelas Nasuha panjang lebar.
Ilham mengangguk tanda setuju. Hakikat itu dia sudah maklum.
“ Kalau kita jaga hubungan kita dengan ALLAH, ALLAH akan jaga hubungan-NYA dengan kita. ALLAH akan permudahkan setiap urusan, setiap tindakan kita. Insya-ALLAH.”
Itu pesanan Ustaz Aqil tempoh hari. Dan kata-kata itulah jadi azimat, jadi pegangan Nasuha hingga ke hari ini.
Ya ALLAH, jaga hubunganku ini agar cintaku pada-MU sentiasa segar mewangi.
------------------------------------------
Awal Ramadan, perancangan rapi untuk membentuk peribadi.
Siapa yang gagal merancang, dia merancang untuk gagal.
Itu azimat. Berbekalkan kata hikmah itu, Nasuha merungkai pengisian Ramadannya.
Solat sunat tahajud setiap pagi
Solat fardu jemaah sekurang-kurangnya 3 kali sehari
Al-Mathurat setiap pagi dan petang
Solat sunat dhuha setiap hari dan bacaan surah lazim
            Solat sunat terawih dan dua solat sunat lainnya.
Khatam Al-Quran sekurang-kurangnya 2kali dan faham intisari ayatnya.
Semua amalan sudah Nasuha senaraikan. Malam pertama Ramadan dia memulakan dengan solat sunat terawih di surau berdekatan. Usai solat, bacaan Al-Quran dia lagukan. Syukur, 2 juzuk dapat diselesaikan pada malam itu.
“ Alhamdulillah. Sejuk hati bunda dengar. Su gunakan masa ni sebaiknya ya. Nanti dah mula kerja, mulalah tak sempat. Mana nak kejar ke patient, mana nak oncall lagi. Kalau dah penat, mesti dah tumbang dan pitam memanjang,” komen bunda bila Nasuha menghubungi lewat malam itu.
Nasuha mengekek ketawa.
Itulah hakikat kehidupan seorang pelajar perubatan tahun akhir sepertinya. Biarpun masih belum rasmi menjawat tugas doktor, bahangnya sudah terasa. Buktinya dua tahun sebagai pelajar perubatan ini kesempatan untuk menuai benih kebajikan dan menabur pahala sebanyak-banyak tidak digunakan sebaiknya. Dan sungguh, ada kekesalan yang lahir bila detik Ramadan itu berlalu begitu sahaja. Mujurlah, enam bulan terakhir ini lebih tenang. Jadi dapatlah dia menebus kesilapan lalu.
“ Bunda, kalau boleh Su tak nak ingat bab busy tu. Cuma kalau ingat pun sebagai iktibar je. Rugi sangat tahun lepas tak dapat banyak ibadah. Tahun ni sementara free, Su nak gunakan elok-elok. Tak mahulah pisang berbuah dua kali,” tegas Nasuha berbicara.
Bunda di talian tergelak kecil. Mahunya tidak tergelak bila terkenang kisah raya tahun lalu. Masih terngiang-ngiang tangisan Nasuha di pagi Syawal kerana tidak dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri dan khatam Al-Quran lantaran uzur syar’ie dan kesibukan yang melandanya. Maklumlah hampir selang sehari, dia harus oncall di hospital. Kalau pun mahu terawih, terpaksalah mencuri masa yang ada. Malangnya kesempatan itu kurang ada dan dia juga keletihan dengan rutin hariannya.
Saat orang lain bergembira menyambut 1 Syawal, Nasuha menangis tidak keruan.
Saat orang lain menikmati enaknya hidangan hari raya, Nasuha masih mengurung diri tidak keruan. Menangis tersedu-sedan hingga runtun hati bunda dibuatnya.
“ Bunda doakan Su. Mudah-mudahan, Su dapat gunakan Ramadan tahun ini sebaiknya. Insya-ALLAH, Su nak berusaha jadi hamba paling bersyukur tahun ni. Su nak gunakan Ramadan penuh. Tak ada sikit pun sisa waktu yang terbuang macam tu je,” balas Nasuha yakin.
“ Insya-ALLAH. Oh ya, jangan lupa juga doa bab jodoh yang bunda pesan tu. Sekarang ni dah umur 25, jangan malu nak minta ALLAH dikurniakan pasangan yang solat. Pasangan yang akan bahagiakan Su dunia hingga ke syurga. Bulan baik, bulan berkat ni lebih banyakkan doa. Mana tahu kalau dimakbulkan ALLAH dan tak lama dah nak sampai hadiah tu.”
Panas muka Nasuha dibuatnya. Itulah pesanan bunda yang tidak lekang darinya setiap kali mereka berbual. Nasuha memang sudah lama patuh dan taat  dengan pesanan itu. Cuma tidak dikongsikan dengan umi sahaja. Segan rasanya bila berbicara soal sensitif itu.
“ Hah,diam macam tu maknya belum buatlah ya?,” soal bunda bergurau.
Nasuha tidak keruan dibuatnya.
“ Isyh, bunda ni. Kalau Su buat, takkanlah nak resport 24 jam dekat bunda. Jangan risau, anak umi ni anak soleh. Apa yang umi suruh, semuanya Su ikut,” balas Nasuha penuh makna.
Umi tergelak di hujung talian. Faham benar dengan perangai anak daranya yang malu tapi mahu itu.
“ Baguslah. Senang hati umi dengar. Lagi satu, Su boleh mulakan solat istikharah dari sekarang. Jangan nanti dah terhantuk, baru nak terngadah. Dari sekarang minta ALLAH tunjukkan pilihan. Pilihan yang baik berpandukan hidayah-NYA.”
Satu lagi amalan masuk ke rincian Ramadhannya. Dan sebagai anak yang mahukan keredhaan ibubapa, mahukan keredhaan Tuhannya dalam setiap perkara, dia akan berusaha memulakan rentetan solat istikharah itu.
YA ALLAH sempena Ramadhan yang penuh makna ini, aku mohon redha-Mu, aku mohon hidayah-Mu, aku mohon sinar cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malam dalam lembaran hari-hariku.
----------------------------------------------------
Pertengahan Ramadan penuh pengharapan.
 “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kalian saling kenal-mengenal.” ( Al-Hujurat: 13)
10 Ramadan bermula fase kedua. Fase kedua itu juga fase penuh liku dalam hidup seorang insan bernama Nasuha. Manakan tidak, dia mula dikejar kesibukan tidak bertepi. Dia harus  pulang ke tanahair atas urusan negara. Pasportnya harus diperbaharui, visa untuk bulan-bulan terakhir harus diurus.
Penatnya ALLAH sahaja yang tahu. Harus menggunakan 3 hari pengecualian berkerja digunakan sebaiknya. Padat, sendat dan nafasnya sungguh tersekat. Alahai.
Hari pertama pulang ke Malaysia dia bersantai bersama keluarga. Hari kedua dan ketiga, seharian menunggu dokumen antar negara selesai. Dan malam ketiga jugalah, dia sudah harus pulang ke perantauan.
Banyak jadual hariannya rompong, terisi kesibukan. Tadarusnya kemana, Solat Dhuhanya di kala sempat sahaja. Dan saat menantikan keberangkatan flight jadi penebus tadarus yang tersisa. 4 juzuk yang tertinggal cuba dikejar semampunya. Dari hanya termenung, eloklah terisi dengan mengucikan jiwa..
Bismillah
Lafaz ayat AL-Quran penuh tartil dan mengikuti tajwidnya.
Baca erti dan intisari ayatnya tanpa tergesa-gesa.
Faham maksudnya dan hadirlah ketenangan di segenap pelosok jiwa.
Syukur, dapat dua juzuk. Tinggal dua juzuk di dalam perut kapal terbang. Saat di panggil untuk penerbangan, beg tangannya di sandang. Naik ke kapal terbang, duduk dan kembali membuka Al-Quran.
Siapa sangka saat itu ada aturan Tuhan untuknya?
Siapa sangka sedetik itu ALLAH hadirkan pertemuan dua insan?
Siapa sangka, sedetik itulah bakal mengubah masa depan?
“ Nasuha,” insan di sebelahnya menyapa.
Nasuha tidak jadi menyambung bacaan. Wajahnya berpaling.
“ Aliff.”
Mereka berbalas senyuman. Saling bertanya khabar dan berkongsi cerita. Maklum sahajalah sudah lama dia tidak bertemu dengan seniornya itu.
“ Balik Malaysia sempena apa ni? Rasanya sekarang tak ada cuti kan? Lari dari kerja ya?,” gurau Aliff.
“ Balik sebab dari urusan negera. Terkejar-kejar balik ni, cuti sebentar sekejap. Tak sempat panas punggung, dah balik kerja semula,” Nasuha meluahkan rasa hatinya.
Aliff melempar senyuman.
“ Ni datang Indonesia semula nak shopping raya ke?,” Nasuha pula bertanya.
“ Shopping dunia dan akhirat. Biasalah, umi saya tak pernah puas habiskan duit berjuta rupiah dekat sini. Sebenarnya nak mengenang nostalgia puasa dekat sini. Rindu nak bagi ta’jil, nak sedekah, nak dengar ceramah Indonesia. Ini yang tekad nak balik ni.”
Panjang lebar Aliff menerangkan. Nasuha hanya tersenyum. Seingat-ingat dia, mereka tidak pernah sekali pun berbual mesra sebelumnya. Hanya sekadar tahu nama masing-masing dan berganti senyuman jika berselisih di jalan.
“ Amboi, 6 tahun dekat sini tak cukup lagi ke?,”gurau Nasuha.
Aliff menggeleng.
“ Bumi jatuh, lagikan dikenang. You’ll feel the same when you back soon.”
Sengih. Entah iya entahkan tidak. Tak nak percaya, getus hati Nasuha.
“ Oh, satu lagi rindu nak tadarus ramai-ramai dengan orang dekat pondok. Dekat Malaysia macam lipas kudung dekat hospital. Harap-harap balik lima hari sini dapatlah cover tadarus yang tertunda tu.”
Senyum lagi.
“ Bagus-bagus. Saya doakan dr.Aliff dapat khatam sebelum balik.”
Nasuha kembali bersuara. Aliff mengukir senyuman lebar.
---------------------------------------------------------------
 Detik pertemuan:
“Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, perbedaan bahasa dan warna kulitmu. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (QS. Al-Rum: 22).
ALLAHu Akbar, sungguh DIA Maha Besar.
“ Lama sangat dah kita berborak. Nak sambung baca Al-Quran ye tadi? Maaf ganggu.”
Aliff menghulur kemaafan. Nasuha hanya menggeleng perlahan.
“ Tak perlu minta maaf. Tak salah pun. Banyak ilmu dapat dari borak tadi. Kita bukannya borak kosong. Kalau nak baca Al-Quran ni, malam masih panjang. Ramadan masih ada. Insya-ALLAH, sempat habiskan,” Nasuha memberikan pengertian.
“ Okey. Lama lagi nak sampai ni. Kalau Nasuha nak tahu, saya ada belajar ilmu psikologi jugak masa dekat Indonesia tahun lepas. Mula-mula, saja suka-suka. Sekarang memang sangat suka dan dah jatuh cinta,” cerita Aliff tanpa dipinta.
Nasuha mempamerkan muka kagum.
“ Wah, menarik. Bolehlah kongsikan sikit.”
“ Sikit ajelah ya. Erm, kita sebenarnya boleh tahu sifat dan peribadi sesorang dari raut mukanya. Kalau orang yang sentiasa happy, kita boleh tengok dari mulutnya. Orang tu akan terlihat tersenyum sentiasa walaupun dia tak senyum. Kalau yang suka stress, nampaklah kerut dekat dahi dia.”
“ Betul..betul.”
“ Kalau tengok muka Nasuha, saya rasa Nasuha ni sah-sah orang yang happy. Erm, rajin dan peramah juga,” balas Aliff.
Nasuha tersengih. Betul sangatlah tu.
“ Mana tahu?,” soal Nasuha.
“ Orang yang rajin ni akan membaca dekat mana pun tempat yang ada. Rasanya dari tadi saya nampak Nasuha tadarus. Erm, kalau bab peramah lagi senang. Kalau tak peramah, tak mungkinlah kita berbual panjang sekarang ni,” balasnya bersahaja.
Nasuha mengulum senyuman. Perbualan mereka berganti topik. 1 minute personality test dilakukan kepada Nasuha. Aliff memberikan situasi dan Nasuha harus memberi kata pertama yang terlintas di fikirannya.
“ Bayangkan Nasuha di dalam hutan sekarang ni. Ada satu rumah. Nampak rumah tu terbuka ke tertutup pintunya?.”
“ Terbuka.”
“ Okey, kemudian masuk. Ada bilik. Apa benda pertama yang Nasuha nampak?.”
“ Tingkap.”
“ Ada satu meja, atasnya ada vas bunga. Vas tu dibuat dari apa?,”
“ Porselin.”
“ Dalam vas ada air. Sebanyak mana air tu?.”
“ Suku je.”
“ Okey. Kemudian keluar dari rumah. Jalan lagi. Dalam perjalanan ada kunci. Kunci emas. Ada berapa kunci yang ada?.”
“ Ada satu je.”
“ Rupa-rupanya itu kunci istana. Di depan istana, ada dua kanan. Yang kanan kotor, ada emas permata. Yang kiri, air bersih ada perak. Nasuha ambil yang mana?.”
“ Both saya tak nak.”
“ Jalan lagi, ada jambatan. Diperbuat dari apa?.”
“ Besi.”
“ Atas jambatan kotak, ada kotak. How big that box? Depan jambatan ada kuda. Warna kuda tu apa dan tengah buat apa?.”
“ Box kecil je. Kuda warna putih, rehat je.”
“ Okey, lastly ada angin ribut melanda. How you want to survive yourself? Naik kuda, menyorok bawak jambatan atau masuk dalam kotak?.”
“ Naik kuda.”
“ Okey done. Thanks for answers. Yang tersurat, itu. Yang tersirat tu besar maknanya.”
“ Hah, apa dia. Cuba beritahu.”
“ Dari awal. Nasuha ni jenis yang open minded, sentiasa nampak jalan keluar masalah, agak rapuh perasaannnya, masih banyak yang belum tercapai dalam hidup dari kisah rumah. Dari kunci, you don’t have much friend. Yang betul rapat ada satu je. Dari kisah istana, you not materialistic for sure and loyal. Tak pernah nak main kayu tiga. Tak reti pun. Then, hubungan dengan pasangan agak kuat. Tak terlalu mementingkan diri sendiri by meaning of box. Then, pasangan Nasuha orang yang baik dan setia menanti. And kalau ada halangan ujian hidup, you’ll settle it with pasangan. Betul berapa persen ni?,” jelas Aliff panjang lebar.
Nasuha diam seketika.
“ More then 50%.”
“ Oh ya, saya lupa nak tanya Nasuha dan ada boyfriend belum? Atau sebelum ni pernah ada someone special?,” soal Aliff kembali.
“ Tak pernah ada. Tak ada akan ada kot. Kalau ada dah nikah nantilah. Boyfriend dunia akhirat. Insya-ALLAH,” lafaz Nasuha yakin.
Aliff menepuk kepala.
“ Ye ke? Kiranya bab pasangan tu kurang tepatlah. Ambil buat panduan masa depan ajelah ya.,” Aliff bersuara perlahan. Malu dibuatnya.
Nasuha hanya tersenyum. Selesai mengenali diri sendiri bagi Nasuha. Selesai menilik insan lain dalam hidup Aliff. Kembali ke urusan masing-masing. Nasuha meneruskan bacaan Al-Qurannya. Aliff pula merehatkan fikiran dan melelapkan mata. Dan pertemuan itu berakhir di situ sahaja.
Sbeaik mendarat, masing-masing dengan tujuan tersendiri. Tidak ada tali penghubung lagi melainkan jodoh yang ditakdirkan ILLAHI.
Ya ALLAH, sedetik Ramadan ini adalah hadiah terindah dalam hidup ini.
-------------------------------------------
Lafaz syukur hanya pada-Nya. Tahun ini dia tidak lagi berendam airmata. Biarpun beraya di perantauan, dia masih mampu mengukir senyuman. Senyuman paling indah kerana siapa sangka ada bonus tambahan di akhir Ramadan itu.
“ Ada orang telefon Bunda. Dia nak minta izin datang rumah raya nanti. Dia nak berkenalan dengan keluarga kita. Cuma dia minta sampaikan hasrat dia ni pada Su. Kalau Su setuju, bunda benarkan dia datang. Kalau tidak, boleh datang juga beraya biasa ajelah.”
Bunda mengatur kata-kata tertib. Nasuha sudah tidak senang duduk.
“ Siapa dan dia nak apa umi?.”
“ Aliff Fikri.Bunda pun tak tahu siapa? Cuma katanya, dia kenal Su dan niat dia nak jadikan Su suri hidup dia. Insya-ALLAH, sampai syurga.”
Nak terlompat Nasuha mendengar sebaris nama itu.
“ Hah, takkan sekali berjumpa dah boleh suka bunda?.”
“ Bila Su jumpa dia?,” soal bunda ingin tahu.
“ Masa balik sini aritu.”
“ Ni nak terima ke tidak ni?.”
“ Tak tahulah bunda. Terkejut sangat ni. Su fikir dulu ye?.”
“ Fikirlah. Jangan lama sangat sebab raya tinggal berapa hari je lagi ni.”
“ Bunda rasa dia serious ke? Dia tu baik ke? Su ni baik ke untuk dia?.”
Bertubi-tubi soalan. Bunda mengekek ketawa.
“ Tanya dekat bunda pulak. Manalah bunda tahu. Cuma kalau bab jodoh, nikah kahwin ni mana ada orang main-main. Dan dia tu sahlah baik sebab jaga hubungan ni. Dia nak terus ke pernikahan, sesuai dengan saranan agama. Bukan main-main dan suka-suka menambah dosa. Insya-ALLAH, mencari redha ALLAH dengan pernikahan.”
Umi mengungkap kata penuh makna. Nasuha terdiam. Sejenak dia mengakui benarnya kata umi.
“ Kakak dah baca doa yang umi ajar tu kan?.”
“ Erm.”
Masih bungkam.
“ Apa doanya?.”
“ Ya ALLAH, pilihkan daku suami yang soleh. Dia akan meminangku, menikahiku dan jadikanlah dia sahabatku dari dunia hingga ke syurga.”
“ Bagus. Istikharah macammana? Dah mula? Lepas jumpa hari tu, jiwa kacau tak?.”
“ Dah, tak kacau. Tenang macam biasa je.”
Umi mengekek ketawa.
“ Petanda baiklah tu.” Pintas umi.
“ Okey. Baik kata umi, baiklah untuk Su.”
Nasuha akhirnya pasrah dan berserah. Andai itu takdirnya, dia memang sudah menerima dengan hati terbuka. Sungguh, rasa terkejutnya bukan kerana lamaran itu dari sosok tenang itu. Tapi terkejutnya kerana tidak menduga janji ALLAH itu benar.
Saat sudah memperbaiki diri, ALLAH hadiahkan insan yang akan membuatkan dia lebih baik lagi. SubhanALLAH. Benar kata-kata yang Maha Agung.
“Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik pula (begitu pula sebaliknya). Bagi mereka ampunan dan reski yang melimpah (yaitu:Surga)” (QS. An Nuur:26).
Dia belum terlalu baik tapi dia berusaha menjadi baik, lebih baik dan terbaik hari demi hari. Sedetik Ramadan ini, dia berjanji. Moga takdir ini memberikan kehidupan lebih baik di dunia dan akhirat.
Ya ALLAH, perkenankan permintaan hamba yang lemah ini.
-------------------------------------
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi pelindung (penolong) bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah ; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [QS At Taubah (9):71].
Selesai bertadarus bersama-sama. Tangan dihulur, dikucup penuh kasih. Sebagai balas, ada kucupan di dahi buat isteri.
“ Alhamdulillah, permulaan Ramadan yang terlalu indah. Tak sangka tahun ni puasa bertiga. Ingatkan berdua aje. Terima kasih sayang.”
Lafaz itu disambut senyuman manis.
“ Terima kasih juga abang sebab kejutkan tahajjud pagi, imamkan solat dan semak bacaan Al-Quran Su. Oh ya, thanks juga sebab tolong panaskan lauk untuk sahur,potong sayur, goreng ikan untuk berbuka. Moga Ramadan ini ALLAH beri kesihatan untuk kita beribadat dan maghfirah ya.”
“ Insya-ALLAH sayang. Kita doa sama-sama.”
Siapa sangka sedetik Ramadan itu sungguh bermakna.
Ramadan mendekatkan hamba pada  Tuhan, merapatkan hubungan dua insan dalam sucinya ikatan pernikahan.
Sungguh, Ramadan kali ini berdua penuh cinta.
ALLAHU AKBAR!
“ Ya ALLAH, kami panjatkan syukur kerana dipertemukan sekali lagi dengan bulan mulia ini. Bulan penuh redha, penuh cinta dan penuh bermakna.
Mengingat itu, Nasuha menguntum senyuman. Dahulu doanya seorang diri, kini tidak lagi.Lafaz syukur terungkap dengan sendirinya di mulut dan tersemat di hati.
   Alhamdulillah, terima kasih ya ALLAH.
--------------------------------------------------
           Salam alaik, berzaman saya tak update blog. Sedetik Ramadan moga bermanfaat buat semua. Saya puasa dan raya di Bandung tahun ni. Siapa nak beraya sekali boleh datang. Yang nak kirim kuih raya pun amat dialu-alukan..(",)Hehe. Selamat membaca semua. Salam Sayang & selamat menunaikan puasa.

5 comments:

Anonymous said...

lame yea xde n3 baru..
btw, cerepn ni bestt!!
kisah sendiri ker??hukhuk..

- Ija - said...

Salam sejahtera
Selamat Berpuasa n selamat berhari raya di Bandung..

TK memaparkan kisah yang banyak pengajarannya...

Ingin tahu novel yang pasal Nur tu apa cerita.. ada perkembangan?

Anonymous said...

syahdu je cerpen ni, best...
lama x kuar kt blog ni..

Anonymous said...

bila nk smbg nie..
-wani-

zo said...

Cerpen ni best tapi sekejap su panggil bunda sekejap panggil umi..

Share If OK