Salam alaik.
Harap semuanya sihat walafiat.
CCB COMEBACK untuk semua memandangkan dah lama sepi takde cerita.
Bukannya tak mahu siapkan jadi buku, sungguh rasanya tak mampu.
Doakan aja yang terbaik ya.
Moga entry ni jadi pengubat rindu semua.
ENJOY.
---------------------------------------------
“ ALLAH uji hamba-NYA sesuai dengan
kemampuan. Kakak banyakkan berdoa, minta ALLAH tunjukkan jalan penyelesaian
terbaik masalah ini.”
Itu kata azimat dari umi, penenang
gelodak jiwa yang masih gundah. Kata abi pula, dia menyerahkan segala keputusan
di tanganku.
“ Apa pun keputusan kakak, kami terima
dengan hati yang terbuka.”
Kedua-duanya tidak memaksaku untuk
menerima lamaran Faizal. Tidak juga menghasutku supaya menolak lamaran spontan
darinya tempoh hari. Bila aku tanyakan kenapa mereka bersikap begitu, ringkas
dan penuh makna jawapan yang aku terima.
“ Umi dan abi nak yang terbaik dalam
hidup kakak. Kakak dah kenal Faizal, kakak tahu baik buruk dia. Kami sentiasa
doakan yang terbaik untuk Kakak. Tapi kami lebih percaya aturan ALLAH adalah
lebih baik, paling terbaik untuk anak kesayangan kami ni. Jadi, kakak jangan
putus solat istikharah, berdoa Dia berikan ilham dan keputusan yang terbaik.
Moga apa pun keputusan kakak, ALLAH redha.”
Kerana pesanan keduanya, setiap malam
aku bertafakur. Setiap malam, aku upayakan solat istikaharah memohon petunjuk
dari-NYA. Aku lupakan kes khalwat yang masih membelenggu, aku mahu lupakan dua
jalan penyelesaiannya yang membuatku buntu dan lamaran Faizal yang masih
keputusannya dia tunggu. Saat ini, aku hanya mahu sebuah ketenangan. Ketenangan
yang akan membuatkan fikiranku jernih untuk membuat keputsan berat itu.
“ Ya ALLAH, hanya pada-MU aku berserah.
-------------------------------------
Sudah tiga hari aku di rumah walid
setelah peristiwa penuh kejutan itu. Sudah sehari juga abi dan umi pulang ke
Perak. Baru hari ini aku membuka mulut kembali, berbicara mesra dengan semua
ahli rumah besar ini.
“ Bibi dah okey?,” soal walid berulang
kali.
Aku lihat ada raut tidak percaya dari
mukanya. Ibu juga melihatku dengan raut serupa. Kiranya perubahan aku tiga hari
laku benar-benar membimbangkan mereka.
“ Alhamdulillah. Bibi dah okey. Walid
boleh temankan Bibi pergi JKR tak hari ni? Bibi ingat nak kemas barang-barang,
bawa balik rumah. Lagi pun dah nak habis pun praktikal Bibi. Encik Ali
kata, seminggu ni dia dah bagi
kelonggaran pada Bibi tak payah masuk,” jelasku.
Walid memandangku dengan raut tidak
percaya dengan ketenanganku.
“ Bibi dah okey ke nak masuk JKR semula
ni? Walid risaulah kalau.....”
“ Walid risau Bibi kena cemuh dek orang,
dipandang serong ke? Walid...walid, Bibi tak salah. Jadi, Bibi tak takut.
Insya-ALLAH, Bibi dah kuat nak hadapi semua ni,” balasku.
Walid melempar senyuman. Ibu menggenggam
erat tanganku.
“ Ibu takut kalau Bib terjumpa Faizal.
Macammana kalau dia..”
Sekali lagi aku memintas kebimbangan
mereka.
“ Faizal cuti sekarang ni. Ibu jangan
risau, Bibi akan selesaikan masalah dengan dia secepat mungkin. Kalau dia lamar
Bibi sekali lagi pun, Bibi tak akan terima bulat-bulat. Dia kan dah setuju nak
istikharah, minta petunjuk ALLAH dulu sebelum buat apa-apa keputusan. Ibu
doakan kami ya.”
Ibu tersenyum kelat. Memang perit
kenyataan itu. Aku tahu dan maklum ibu memang berharap benar aku ada ikatan
dengan anak lelakinya, Abang Riz. Namun, keputusan terletak ditanganku.
Sebagaimana Abang Riz yang sudah berserah, ibu juga harus pasrah.
“ Zah, kita kan dah janji tak akan
bincang perkara ni lagi. Insya-ALLAH, Bibi dah matang nak buat keputusan,”
pujuk walid.
Ibu menghela nafas berat. Aku
menggenggam erat tangannya, cuba menghadirkan kekuatan. Jika aku kuat
menghadapi ini, semua ahli keluargaku yang lain juga harus begitu. Moga
keputusanku nanti dapat mengembirakan semua pihak dan terbaik untuk keluarga
ini.
----------------------------------
Sudah aku katakan kepada walid, aku mahu
masuk ke pejabat seorang diri. Namun walid berkeras mahu menemaniku. Kalau
walid boleh berdegil, aku pun boleh buat perangai keras kepala. Akhinya walid
mengalah setelah aku meyakinkan dia.
“ Walid, jangan risau. Everything will be fine. Bibi masuk
sekejap je ni. Kemas barang, say goodbye
dekat semua orang, terus balik Shah Alam.”
Walid akhirnya menghantar aku dengan
muka sugul dan bimbangnya. Aku memaksanya supaya tersenyum manis. Bila
senyumannya sudah terukir, barulah aku menapak masuk ke tempat praktikal penuh
kenangan ini.
“ Huda.........”.
Dari jauh, Kak Nasya sudah melaung
memanggil namaku. Laju juga langkah menghampiriku. Pastinya banyak yang mahu
dia tanyakan, banyak hal yang mahu dia ceritakan dan banyak hal yang harus dia
luruskan.
“ Akak..akak. Kalau pun rindu, cubalah
bagi salam dulu,” selorohku.
Kak Nasya tersenyum kelat bila diperli
begitu. Tak lama kemudian, dia menghulurkan ucapan salam dan mengganding
tanganku. Dituntun tangkahku ke bilik Faizal yang pernah aku huni dahulu.
Nampaknya banyak hal yang akan terlerai di sini.
“ Akak akan rindu, serindu, rindunyalah
dekat Huda lepas ni.”
Suaranya berbaur rintihan. Aku hanya
ketawa dengan kata-katanya. Sejak bila pulak Kak Nasya pandai mengayat dengan
berbahasa sastera ni?
“ Akak cakap serious, Huda gelakkan akak pulak. Tak patut betullah,” rajuknya.
Aku tergelak sekali lagi. Mengingat
janjiku dengan walid, aku tidak boleh melayan karenah Kak Nasya. Akhirnya, aku
melemparkan persoalan padanya.
“ Akak mesti dah dengar kes Huda dengan
Faizal hari tu kan? Macammana dengan orang office
ni, mesti heboh dan kecoh kan?.”
“ Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak
tahu pulak cik Huda ni. Mestilah heboh. Cuma hebohnya bukan sebab mengata Huda
dengan Faizal. Semua heboh tak percaya kisah Faizal dengan Huda. Kecoh sebab
tak sangka Huda nilah yang Faizal tunggu sekian lama. Semua orang dok kata
kisah Huda dengan Faizal macam drama Melayu tahu tak?.”
Panjang penjelasan Kak Nasya. Aku hanya
tersenyum sumbing. Memang drama Melayu tak ada pengarah kisah kami. Sayangnya,
skrip belum selesai dan belum tahu pengakhirannya. Cuma harapanku, kisah kami
ini tidaklah membuatkan orang yang melihatnya jadi ratu airmata. Moga
pengakhiran kisah kami menggembirakan semua.
“ Saya tak kisah apa orang nak kata
akak. Yang penting, saya tahu keberadaan saya.”
Kak Nasya terdiam seketika sebelum
membalas kata-kataku.
“
Kami semua pun tahu keberadaan Faizal dan Huda. Kami tahu kau orang tak
bersalah. Kami akan sokong apa pun keputusan Huda. Huda dah bincang dengan
Faizal macammana nak selesaikan kes khalwat tu?.”
Aku menganggukkan kepala.
“ Kami akan daftar dan bawa kes ni ke
mahkamah. Insya-ALLAH, kami akan berjuang mati-matian dan buktikan kami tak
bersalah. Kami hanyalah mangsa keadaan dan kuasa hukum akan buktikan semuanya,”
balasku yakin.
“Kami semua doakan Huda dengan Faizal.
Mudah-mudahan, menang kes tu. Pak Itam dengan Encik Ali sanggup naik turun
mahkamah jadi saksi kes Huda ni. Insya-ALLAH, kebenaran akan tersurat nanti,”
Kak Nasya menyatakan sokongan.
“ Terima kasih banyak-banyak akak.”
“ Apa-apa pun, semuanya yang terjadi ni
ada hikmahnya. Mungkin kalau tak jadi begini, sampai sudah Huda menyorok dari
Faizal. Sampai sudah juga Faizal tak sedar rasa hati dia hanya untuk Huda.
Faizal masih Faizal yang setia tunggu SNM tahu tak?.”
Bicara Kak Nasya penuh makna. Aku tidak
berniat untuk bertanya kerana sejak dari dulu Kak Nasya sudah mengingatkan aku
kemungkinan ini. Cuma aku sahaja yang tidak yakin dan percaya. Bila dah ada
buktinya di depan mata, mahu tidak mahu aku mengaku Faizal masih Faizal yang
sama.
Dia masih seorang pencinta yang setia.
------------------------------------------------
Kak Nasya hanya melihatku mengemas
barang-barang di bilik Encik Ali. Memang dia sudah memaklumkan kepadaku dia tak
mahu menolongku mengemas. Katanya, kalau dia menolong, nanti cepatlah kerjaku
selesai. Jadi, tidaklah dapat berbual panjang denganku. Oleh kerana itulah, Kak
Hasya hanya berada di situ sekadar menemaniku membicarakan soal Faizal yang
belum habis. Rasanya kalau tiga hari tiga malam pun, tak habis lagi Kak Nasya
bercerita.
“ Huda tahu Faizal dah batalkan majlis
dia dengan Ain kan?.”
Kerja-kerja mengemas meja kerjaku
terhenti. Terkejut benar aku dengan khabar itu.
“ Hah, dibatalkan? Rasanya hari tu
dia cakap nak tangguhkan je majlis. Kenapa boleh jadi macam tu pulak? ,” soalku
tidak senang.
Soalanku berbasa-basi. Ketika Faizal
melamarku tempoh hari, hal ini tidak pun melintas di fikiran. Kiranya Faizal
memang serius mahu hidup hanya denganku.
“ Rasanya Huda dah tahu kenapa Faizal
batalkan majlis tu. Faizal dah jumpa SNM. Takkanlah dia nak lepaskan orang yang
dia dah tunggu sepuluh tahun macam tu je. Kalau akak jadi dia pun, akak akan
buat tindakan yang sama. Tak mungkinlah akak nak perjudikan nasib hidup dengan
orang yang kita tak sayang,” balas Kak Nasya.
Aku terpempam.
Sampai begitu sekali Faizal membuktikan
rasa hatinya?
“ Malam lepas tahu Hudalah SNM, Faizal
jadi macam orang tak betul. Dia sms, dia telefon akak. Dia luahkan perasaan
dia. Dia rasa dialah manusia paling bodoh sebab tak pernah sedar Hudalah yang
dia cari selama ni. Dia kata kalaulah boleh dia undur masa, dia akan pinang
Huda sejak pertama kali jumpa lagi. Menitis jugalah airmata lelaki dia cerita
dengan akak.”
Melopong mulutku mendengar kisah Faizal
dari mulut Kak Nasya. Terpana dengan ayat terakhir Kak Nasya.
Faizal menangis?
Biar betul.
“ Betul Huda, Faizal menangis. Dia
menyesal sebab tak dengar cakap akak dulu. Akak pun apa lagi, hentamlah dia.
Makin jadi raja airmatalah Encik Faizal tu bila dapat ceramah percuma dari
akak.”
Aku cuba menyukir senyuman dapat
kepayahan. Apa yang Kak Nasya ceritakan sukar untuk aku percaya bulat-bulat.
Namun jauh di sudut hati, aku dapat rasakan kebenarannya. Kisah itu bukan
rekaaan Kak Nasya, bukan tokok tambah penyedap rasa dan perisa. Kak Nasya tidak
mungkin bergurau soal hati dan perasaan begini.
“ Huda percaya tak cerita akak ni?,”
soal Kak Nasya bila aku masih diam tidak berkutik. Sungguh, aku masih terpana
dengan kenyataan ini.
“ Saya percaya sikit je akak. Kalau tak
ada bukti ni, susah sikitlah nak percaya terus.”
Kak Nasya menepuk kepalanya.
“ Alahai, menyesal akak tak rakam Faizal
menangis malam tu. Kalau tidak, tak payah susah-susah akak habiskan air liur
bercerita dengan Huda hari ni. Bagi je Huda dengar, dah habis cerita. Senang
kerja akak,” luahnya.
Aku ketawa kecil dengan gelagat Kak
Nasya. Ada sahaja ideanya menceriakan hatiku.
“ Menyesal habis air liur ke akak?
Rasanya saya tak suruh pun akak cerita pasal Faizal. Akak sendiri yang buka mulut
kot,” gurauku.
Kak Nasya tersengih malu. Melihat aku
yang sudah selesai mengemas barang, dia bingkas menghampiriku. Tanpa dipinta,
kotak yang sudah berisi alat pejabatku diangkatnya. Kemudian, dia berjalan
seiringan denganku ke kereta walid di tempat letak kereta.
“ Kalau ada apa-apa berita lepas ni,
jangan lupa khabarkan dekat radio karat ni. Insya-ALLAH, akak sudi jadi
pendengar setia dan penyimpan mohor cerita Huda dengan Faizal.”
“ Insya-ALLAH,” balasku sambil mengekek
ketawa.
Dari dulu, Kak Nasya memang sudah
menjadi pendengar setia Faizal dan aku. Cuma, dia belum berkesempatan jadi
penyimpan mohor kisah kami saja. Tidak tahulah kalau esok-esok impiannya itu
akan jadi kenyataan.
“ Oh ya, akak lupa nak cakap kata azimat
pada Huda. Dari tadi tak habis-habis cerita Faizal. Huda, selamat berjaya.
Lepas ni, ada jodoh ada rezeki kita jumpa lagi. Jangan lupakan akak dan JKR
yang bersejarah ni. Di mana pun Huda lepas ni, kenang daku dalam setiap doamu,”
seloroh Kak Nasya lagi.
Ketawaku lepas.
“ Insya-ALLAH, Huda akan ingat akak
semua pesanan akak tu. Huda pun akan rindu, serindu, rindunya pada akak dan JKR
lepas ni.”
Kami akhirnya bersalaman. Sempat Kak
Nasya berpesan satu hal kepadaku sebelum kami berpisah.
“ Akak dah pesan dekat Faizal,
pandai-pandailah dia cari akal buktikan dia ikhlas sayang dengan Huda, SNM dia
tunggu ni. Huda tunggu ajelah buktinya ya.”
Aku terpempam. Kerana rasa ingin tahu
yang sudah tak mampu aku sembunyikan, aku beranikan bertanya kepada Kak Nasya.
“ Dia ada beritahu akak tak apa dia nak
buat?.”
Aku cuba bertenang dalam debaran dada
yang memuncak.
“ Dia cakap dia akan lamar Huda serta
merta dengan cara paling terhormat dan tergentleman lelaki pernah buat di abad
ini. Kalau dia dah buat tu, Huda tak payahlah pening-pening nak nafikan semua
rasa hati dia lagi okey.”
Jawapan Kak Nasya memang menyentak
seluruh ketenangan dan kekuatan yang ada dalam diriku. Aku cuba menyembunyikan
rasa terkejutku dengan menyampaikan kata perpisahan. Moga Kak Nasya tak
mengesan perubahan mukaku saat ini.
“ Terima kasih Kak Nasya. Insya-ALLAH,
kita jumpa lagi nanti. Sampaikan salam saya pada yang lain. Saya minta maaf
salah silap saya selama praktikal ni. Halalkan yang terkurang dan yang
terlebih. Assalamualaikum,” ucapku sebelum masuk ke dalam kereta.
Lambaian tangan Kak Nasya menghantar
pemergian aku dari tempat penuh sejarah ini. Kalau kata orang, tempat jatuh
pastikan dikenang. Kata aku?
Tempat jatuh cintaku di JKR ini. Sudah
tentulah akan jadi kenangan terindah alam hidupku. Biarpun ada pahitnya, aku tak
mahu ia terus membelengguku. Kalau boleh, biarlah hal pahit itu menjadi ubat
dan berakhir menjadi hal termanis juga.
--------------------------------------
Sepanjang perjalanan pulang ke Shah
Alam, walid tidak banyak berbicara denganku. Seakan-akan dia memberikan ruang
untuk mengingat soal pertemuanku dengan Kak Nasya sebentar tadi. Perlakuan
walid menghantar makna dia mahu aku berfikir semasak-masaknya sebarang
keputusan dengan mempertimbangkan pendapat dan nasihat orang lain di
sekelilingku.
“ Walid,” aku memanggilnya perlahan.
“ Ya, saya,” balas walid ringkas
dalam senyuman.
“ Bibi nak minta pendapat walid
boleh?,” soalku lagi.
Walid menganggukkan kepalanya.
“ Kalau walid di tempat Bibi,
walid terima Faizal tak?.”
“ Erm, susah nak jawab soalan Bibi
ni. Mujurlah walid bukan Bibi. Jadi, walid tak terimalah dia,” balasnya
bergurau.
Aku menarik muka empat belas.
Melihat rentak rajukku yang mula keluar, walid tergelak kecil. Kemudian, dia
memujukku.
“ Jangan merajuk ya sayang.
Kesianlah dekat walid penat nak memujuk nanti.”
Aku tergelak kecil. Tahu pun takut
anak manjanya ini buat perangai lagi.
“ Walid terima Faizal tak kalau
walid ada di tempat Bibi sekarang ni?.”
Aku mengulang soalan yang belum ada jawapan itu.
“ Nak terima orang ni bukannya semudah
petik jari Bibi. Kita kena nilai semua aspek hidup dia. Rupa dia, harta dia,
keturunan dia, dan paling penting agama dia. Kalau Faizal, walid rasanya semua
aspek tu dah baik. Jadi tak ada alasan nak menolak. Cuma berbalik lagi kepada
hati Bibi sendiri. Bibi lebih tahu dan kenal siapa Faizal dalam dua bulan Bibi
kerja dengan dia dulu. Walid rasa, Bibi lebih berhak menilai dia. Bibi lebih
berhak tentukan nak terima dia atau tidak. Jadi, sekarang ni Bibi nak terima ke
tidak lamaran dia tu?.”
Aku diam tidak beraksi. Saat ini, hatiku
belum ada kepastian.
“ Tak tahulah walid. Susah nak buat
keputusan,” balasku lambat-lambat.
“ Tak apa Bibi. Take your time because this is the big things in your life. Do think
wisely and decide the best. I’ll always support you dear.”
Senyuman aku lebar. Itulah walid.
Sentiasa ada dan faham dengan diriku. Dia tidak akan memberikan keputusan
kepadaku. Dia hanya akan memberi pilihan dan akulah yang menentukan keputusan.
“ Walid nak pesan satu je. Kalaulah ada
kebaikan yang Faizal buat menyentuh hati Bibi selama ni, jangan pula hanya satu
keburukan Faizal yang menutup hati Bibi untuk dia. Teruskan istikharah, minta
petunjuk dari ALLAH sayang.”
Kata-kata walid aku sematkan dalam hati.
Moga setiap keputusan yang akan aku ambil sentiasa diiringi redha ALLAH dan
redha manusia di sekelilingku. Insya-ALLAH.
----------------------------------------
Malam setelah solat Isyak, aku
memberanikan diri menghubungi Abang Riz. Sudah lama benar tidak ada khabar yang
aku terima darinya. Aku juga tak pasti dia sudah maklum soal aku dan Faizal
belum. Tidak tahulah kalau sudah ada yang menyampaikan kisah aib itu kepadanya.
Kalau pun dia sudah tahu, aku harus bersemuka dengannya. Aku harus menjelaskan
semuanya kepadanya tanpa berselindung lagi.
Telefon bimbit aku capai. Pesanan
ringkas aku kirim kepadanya.
Salam.
Abang Riz, sorry ganggu. Borak jom.
Dalam debar, aku menanti khabar darinya.
Aku sudah cuba memupuk keberanian ini tiga hari lamanya. Aku sudah
mempersiapkan kata-kata untuk berdepan dengan Abang Riz. Harapan aku,
kata-kataku tidak mengundang luka di hatinya. Tidak sanggup rasanya aku
menambah duka di hatinya yang sudah lama terguris.
Wslm.
Okay. Tunggu sekejap ya. Abang call 5 minit lagi.
Balasan sms dari Abang Riz aku terima
tidak lama kemudian. Aku menghela nafas panjang, aku cuba hadirkan kekuatan.
Rasanya lima minit menunggu panggilan Abang Riz adalah detik yang paling cemas
aku rasakan.
Semua kata-kata yang sudah aku susun
hilang terbang dek kegundahan.
Semua hal yang mahu aku luruskan jadi
bengkak bengkok kembali.
Aku perbanyak berselawat. Bila telefon
berdering, aku membaca lafaz Bismillah terlebih dahulu. Moga masalah ini serba
sedikit menemui jalan terangnya.
“ Assalamualaikum. Bibi, abang sihat
dekat sini. Adik manja Abang Riz sihat tak ni?”
Mesra benar suara Abang Riz memulakan
bicara. Seakan-akan tidak ada apa yang terjadi. Terkejut benar dengan sikapnya
itu.
“ Wa’alaikummussalam. Sihat. Abang Riz
dah habis final exam ke? Macammana?
OK ke KO?,” soalku kembali.
Aku cuba kawal suara seakan tidak ada
apa-apa yang terjadi. Kemesraan yang aku cuba lahirkan dari perbicaraan kami
biarlah tidak terhenti dek kisah itu. Itu harapanku.
“ So
far so good. Ada yang OK, ada yang KO. Insya-ALLAH, semua okey je kot.
Walaupun risau dengan Bibi, Alhamdulillah
i can catch up with my study and doing well in my exam.”
“ Alhamdulillah,” aku melafaz syukur.
Kata-kata Abang Riz sudah menghala
kepada kisah aku. Itulah yang aku takutkan dari tadi. Namun, kita hidup dengan
kenyataan dan bukan khayalan. Mahu tak mahu, hal itu harus jadi topik
perbincangan kami juga.
“ Bibi dah okey betul-betul ke sekarang
ni?.”
“ Okey betullah. Kenapa Abang Riz tanya
macam tu? Abang ingat Bibi okey tak betul ke?,” selorohku dalam tawa.
Dia turut ketawa sebelum membalas
kata-kataku.
“ Iyalah, mana tahu pening tak keruan
lagi dengan ujian tu. Tapi abang tahu dan kenal siapa Bibi. Insya-ALLAH, Bibi
kuat hadapi semua ni. Abang doakan yang terbaik untuk Bibi dan family kita.”
Akhirnya dia mengungkap soal itu.
Lidahku kelu. Aku tidak memberi reaksi, hanya mendengar kata-katanya sahaja.
“ Abang tahu apa yang jadi pada Bibi tu
aib. Tapi kalau ada jalan yang boleh tutup aib tu, Bibi pilihlah yang itu.
Kalau Bibi rasa cadangan menikah dengan Faizal tu boleh kembalikan maruah
keluarga kita, abang sokong. Yang paling penting, Bibi jangan korbankan diri
sendirilah. Jangan sebab nak jaga nama keluarga, hati Bibi tak gembira.”
Abang Riz menghantar sebuah pengertian
dari kata-katanya yang tenang. Mahu menitis airmataku mendengar bicaranya itu.
Dia melupakan rasa hatinya yang sudah lama terpendam bila berdepan dengan
masalah sesulit ini.
Ya ALLAH, tabahkan hatinya dengan
dugaan ini.
“ Bibi, kenapa diam je? Tak suka
abang cakap macam tu ke?.”
“ Abang rasa?,” soalku berteka teki
“ Abang rasa Bibi tak suka sebab
Bibi dah tahu hati abang. Cuma abang tak boleh nak buat apa-apa bila dah jadi
macam ni. Abang lebih sanggup korbankan rasa sayang ni dari lebih menyulitkan
keadaan. Walaupun abang tak jadi abang special
version untuk Bibi, Bibi tetap akan jadi adik paling istimewa sepanjang
hidup Abang Riz,” suaranya yakin.
Sekali lagi bicaranya menggugat
ketabahanku. Aku tahan airmata dari keluar. Makin cuba aku tahan, makin laju
dia jatuh dari mata.
“ Bibi, jangan sedih. Abang buat
macam ni sebab terlalu sayang dekat adik perempuan abang seorang ni. Abang
kenal Faizal. Dia lelaki yang baik. Abang yakin dia dapat bahagiakan Bibi. Dia
akan jadi sahabat Bibi dari dunia hingga syurga.”
Besar benar harapan Abang Riz pada
sahabat baiknya itu. Aku terpempam.
“ Abang memang nak Bibi terima
Faizal ye?,” soalku mahukan kepastian.
“ Abang tak kata macam tu. Cuma pada
pendapat abang, Faizal tu akan jadi suami yang baik untuk Bibi. Kalaulah orang
lain yang kena tangkap sekali dengan Bibi, memang dia kena tunggu sepak
terajang abanglah. Kalau Faizal, nak tak nak abang kenalah bagi salam mesra,
jemput masuk dalam keluarga. Abang dah terlebih kenal Faizal tu Bibi. Semuanya
tentang dia dah ada dalam poket abang,” jelas panjang.
“ Semuanya?.” Aku bertanya lagi.
“ Iya. Abang tahu dia memang dah
jatuh hati dekat Bibi dari dulu lagi. Cuma abang aje yang cemburu tak
bertempat. Abang tak nak dia suka dekat Bibi sebab abang rasa abang lebih
layak. Tapi ketentuan ALLAH, siapa kita nak menghalang. Walaupun akhirnya,
penantian dia terjawab dengan cara ini, mungkin inilah detik pertemuan yang
ALLAH takdirkan untuk Bibi dan Faizal.
Jadi, tak salah rasanya kalau Bibi terima takdir ni dengan hati yang
terbuka.”
Aku mengetap bibir. Terlalu banyak
rahsia yang tersimpan antara mereka. Cukup kalau aku katakan, aku tidak mahu
ambil pusing semua itu. Kalau itulah kata Abang Riz, lebih mudah rasanya untuk
aku merungkai masalah ini.
“ Abang Riz redha kalau Bibi setuju
dengan cadangan keluarga supaya nikah dengan dia? Abang tak akan menyesal
dengan keputusan abang ni?.”
“ Insya-ALLAH, abang redha dan tak
akan menyesal. Bibi, dia dah lama sangat menanti. Abang rasa dah sampai
masanya, kesetiaan dia bertahun-tahun pada Bibi terbalas. Abang tunggu
keputusan Bibi dengan hati yang terbuka. Selamat malam Bibi. Assalamualaikum.”
Itu kata-kata-kata Abang Riz sebelum
mengakhiri perbualan ini. Abang Riz sudah redha. Tinggal aku sahaja meredhakan
hal itu terjadi atau tidak.
Ya ALLAH, aku pohon petunjuk dan
jalan keluar masalahku ini.
------------------------------------------------
Malam ini sekali lagi aku bermunajat
di keheningan malam. Untuk mengambil keputusan terberat ini, harus berteraskan
petunjuk ALLAH semata-mata. Aku cuba hilangkan semua kata pujian, pujukan
mahupun sebuah keputusan dari orang lain.
Solat istikharah aku sekali lagi aku
dirikan. Penuh pengharapan, seuntai doa dipanjatkan kepada-NYA.
“Ya ALLAH, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon
ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah
kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak
berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan
Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib.
Ya ALLAH,
seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini, pernikahan kami adalah
baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat
atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku
padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini, pernikahan kami
mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku
sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah
kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku
dengannya. Amin ya Rabbal Alamin. Ya ALLAH, perkenankanlah permintaan hamba-Mu
yang lemah tak berdaya ini.”
Sungguh,
aku insan yang lemah dan hanya pada-NYA aku berserah!
--------------------------------------------------
Moga terhibur.
Apa kelanjutan cerita ni, nanti saya beritahu.
Huhu
Wslm